AGENDA

Maszlee: 421 program khas integrasi bakal dibuka tahun ini

2 Jan 2020, 4:51 AM
Maszlee: 421 program khas integrasi bakal dibuka tahun ini

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka tahun ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 7,600 orang lagi Murid Berkeperluan Khas (MBK), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata pelaksanaan PPKI itu yang membabitkan 1,109 buah kelas juga bakal memberikan akses pendidikan yang lebih mudah serta berhampiran kawasan kediaman golongan pelajar itu.

“Peluasan (program) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta adalah bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Dari segi penyelenggaraan pula, bagi tahun ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi menyelenggara 320 buah sekolah lagi dan jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur MBK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersempena hari pertama sesi persekolahan tahun ini di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata pada 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.

“Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan yang telah dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya yang juga merupakan aset kepada negara,” katanya.

Selain itu, Maszlee berkata sebanyak 75 sekolah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang menawarkan PPKI daripada peringkat prasekolah ke peringkat menengah di negara ini adalah sebanyak 2,418 buah.

Beliau berkata pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif yang menjadi keutamaan kementerian selaras dengan Dasar Sifar Penolakan yang diumumkan baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas berhubung program pertukaran guru secara ‘suka sama suka’ yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM pada tahun ini, Maszlee berkata ia bakal dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi dalam talian

“Pada tahun 2020 dan tahun akan datang sistem pertukaran guru akan lebih tersusun dan ia akan dilaksanakan berdasarkan sistem digital. KPM akan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya,“ katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619