AGENDA

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

15 Dis 2019, 9:04 AM
Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

KLUANG, 15 DIS: Kementerian Pendidikan bersiap sedia untuk memastikan sesi pembukaan persekolahan bulan hadapan tidak terjejas dengan bencana banjir.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi situasi itu jika banjir berlarutan sehingga Januari.

“Pejabat Pendidikan Daerah memiliki SOP mereka sendiri dalam menghadapi banjir. Mereka bersiap siaga setiap tahun. Sekiranya terjadi, kita akan ikut SOP biasa," katanya kepada pemberita pada program Kembali ke Sekolah dan pelancaran Telefon Awam Baharu Helogang di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Maszlee mengulas mengenai persediaan kementerian untuk menghadapi musim banjir di Johor dan negeri lain yang dijangka berlarutan hingga Januari.

Hampir semua daerah di negeri ini telah dilanda banjir sejak dua hari lepas, mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke 1,217 pusat pemindahan sementara. Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang.

Sementara itu, program ‘Back To School’ anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menyediakan barangan kelengkapan persekolahan kepada 600 orang pelajar di kawasan Simpang Renggam dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

Secara keseluruhan, sebanyak RM634,400 diperuntukkan oleh PTPTN bagi menjayakan program itu di seluruh negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619