AGENDA

Kos beli vaksin untuk pendatang asing diumum nanti

15 Dis 2019, 8:54 AM
Kos beli vaksin untuk pendatang asing diumum nanti

IPOH, 15 DIS: Kos perbelanjaan untuk membeli bekalan vaksin bagi disuntik kepada pendatang asing di negara ini akan diumumkan bila tiba masanya, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkara itu, pada minggu hadapan.

"Buat sementara waktu kita lebih menumpukan kawalan polio dan seterusnya mungkin perlu mengkaji keperluan vaksin penyakit lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Placemaking Festival 2019' di Dewan Konvensyen GRC di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

Pada minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, kementeriannya kini lebih menumpukan pemberian suntikan vaksin kepada pendatang asing termasuk warganegara di Sabah.

“Di Sabah khususnya di kawasan pesakit polio berlaku kita telah buat vaksinasi 100 peratus untuk warganegara Malaysia dan asing.

“Kita juga telah berbincang dengan UNICEF dan WHO dan kita harap kita boleh memperluaskan vaksin ini meliputi kanak-kanak tanpa dokumen sebab bukan setakat melindungi kanak-kanak warga asing tetapi juga kanak-kanak warga Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KKM akan mandatori suntikan imunisasi kepada kanak-kanak, beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk perkara itu.

"Selepas usaha pendidikan dan penerangan diberi kepada ibu bapa kadar vaksinasi meningkat dan telah mencapai 95 peratus ke atas.

"Jadi ini bermaksud komuniti di Malaysia telah dapat perlindungan daripada penyakit dan boleh dielak melalui vaksin. Jadi buat sementara waktu tiada keperluan untuk kita wajibkan vaksin," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619