AGENDA

Program kebajikan rakyat akan ditambah - Guan Eng

24 Nov 2019, 7:34 AM
Program kebajikan rakyat akan ditambah - Guan Eng

BUTTERWORTH, 24 NOV: Kerajaan Persekutuan terus menzahirkan komitmen yang tinggi dalam mendekati rakyat dengan akan terus menambah pelbagai program bagi menjaga kebajikan rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan pusat memerlukan sedikit masa dan sedang berusaha memulihkan keadaan ekonomi dan setelah pulih, pelbagai program bagi kebajikan rakyat sudah tentu akan dilaksanakan.

"Pada hari ini saya datang ke Program Warga Emas, Ibu Tunggal dan Ibu Emas Tahun 2019 iaitu satu program yang telah dilancar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan kini sudah 10 tahun program itu berjalan. Ia adalah hasil daripada kejayaan pihak kerajaan negeri untuk mendirikan sebuah kerajaan negeri yang bersih. Pulau Pinang berjaya melakukannya selepas mentadbir negeri selama 10 tahun.

"Kita juga perlu sedikit masa di peringkat kerajaan Persekutuan, kita harap bahawa bila keadaan (ekonomi) pulih, kita boleh melancarkan program-program sedemikian atau menambah program sedia ada untuk kebajikan rakyat. Itu memang perlu, tetapi kita mesti pastikan kita ada kemampuan kewangan yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Taman Pandan di sini hari ini.

Guan Eng berkata apa yang ingin ditegaskan adalah segala janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan harus ditunaikan namun ia memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Kalau kerajaan terdahulu pun ambil masa lima tahun untuk mencapainya, jadi sekiranya nak buat ukuran itu (perbandingan) saya harap masa yang sama boleh diberikan kepada kerajaan Persekutuan. Sekarang ini kita boleh lihat terdapat banyak perbezaan, perubahan tetapi ia berjalan secara berperingkat seperti yang kita lihat di peringkat Pulau Pinang ini. Ia adalah hasil daripada usaha selama 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata kerajaan akan sentiasa mempertingkatkan usaha dengan melihat sektor-sektor tertentu yang memerlukan bantuan.

"Itu akan diambil kira, sudah tentu dalam kerangka yang akan diumumkan kemudian. Berikan sedikit masa, yang penting adalah untuk tahun hadapan kita akan adakan program untuk galakkan peralihan kepada E-dompet supaya kita boleh adakan pembayaran digital, jadi itu akan dilancarkan tahun hadapan dan membolehkan sekurang-kurangnya RM30 diberikan kepada semua yang daftarkan diri supaya mereka ada RM30 untuk belanja,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619