AGENDA

Nepal cadang perkenal Bahasa Melayu di sekolah

22 Nov 2019, 1:06 PM
Nepal cadang perkenal Bahasa Melayu di sekolah

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu (BM) sebagai mata pelajaran elektif di sekolahnya bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa itu untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.

Perkara itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Kabinet Nepal dan pihak berkuasa relevan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Nepal, Giriraj Mani Pokharel semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Giriraj turut menyambut baik syor Maszlee untuk Malaysia menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.

Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Inovatif Dunia bagi Pendidikan 2019, yang diadakan dari 19 hingga 21 November di Doha, Qatar, Maszlee berkata:

“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.

“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka.”

Maszlee berkata, kedua-dua mereka turut berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Nepal.

“Menteri Nepal itu kagum dengan Sistem Latihan Berkembar dengan Jerman bagi TVET oleh negara kita dan bagi mereka, ia amat berguna.

“Ini kerana Nepal mahu mengeluarkan pekerja mahir untuk bekerja di luar negara dengan bayaran lebih baik dan mempunyai sijil TVET,” kata Maszlee.

Nepal sedang mencari peluang untuk menghantar pelajar mereka melanjutkan pelajaran peringkat ijazah lanjutan di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia.

Giriraj turut mengundang Maszlee untuk melawat Nepal bersempena dengan Tahun Melawat Nepal 2020 dan menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan di Kathmandu tahun depan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619