AGENSI

Pemilik tanah, kilang diberi tempoh setahun laksana pemutihan

20 Nov 2019, 1:20 PM
Pemilik tanah, kilang diberi tempoh setahun laksana pemutihan

BANTING, 20 NOV: Pemilik tanah dan pengusaha kilang berdaftar di daerah Kuala Langat diberi tempoh selama setahun untuk memulihkan atau membuat permohonan tukar kategori syarat tanah bermula sejak 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun hadapan.

Pegawai Daerahnya, Mohd Jusni Hashim berkata, tempoh itu dipersetujui di bawah Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (PPSPKTK) membabitkan beberapa kaedah pelaksanaan.

"Bagi tempoh pemutihan, pemilik perlu memulihkan tanah dengan mengembalikan keadaan tanah mengikut kategori dan syarat nyata seperti dalam hak milik.

"Selain itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan agensi berkaitan terhadap semua pemilik berdaftar sama ada berada di dalam atau luar zon perindustrian.

"Tindakan secara bersepadu ini turut dilakukan terhadap kilang yang dibina di atas tanah kerajaan terutama rizab sungai, jalan dan kawasan lapang.

"Insentif sehingga 30 peratus daripada jumlah premium akan diberikan kepada pemilik sekiranya permohonan dibuat mengikut tempoh masa ditetapkan," katanya pada program PPSPKTK, di Kompleks Sukan MDKL, di sini hari ini.

Mohd Jusni berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis supaya menunjukkan sebab, selain tindakan merampas tanah sekiranya didapati pemilik ingkar melakukan pemutihan selepas tamat tempoh setahun itu.

"Saya menyeru semua pemilik berdaftar tanah dan pengusaha kilang mengambil peluang kali ini untuk memutihkan kilang tanpa kebenaran supaya selari dengan dasar Kerajaan Negeri untuk menyediakan ruangan industri yang menepati serta mematuhi segala perundangan terpakai.

"Langkah ini juga bagi meningkatkan produktiviti dan persaingan sihat antara semua pemain industri," katanya.

Sebelum ini, PPSPKTK dinamakan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) yang bermula pada Julai 2006 sehingga 31 Disember 2015 dan disambung sebanyak enam kali dalam tempoh itu.

Untuk rekod sepanjang tempoh PPKTK, hanya 630 kilang berjaya diputihkan daripada keseluruhan kira-kira 2,885 kilang yang dibina di atas 2,638 lot tanah pertanian mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619