AGENDA

Rakyat sambut baik kempen Wanita PAKATAN di Tanjung Piai

13 Nov 2019, 1:40 PM
Rakyat sambut baik kempen Wanita PAKATAN di Tanjung Piai

PONTIAN, 13 NOV: Gerak kempen Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjaya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat berbilang kaum dalam kawasan Parlimen itu.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh kempen, kebarangkalian untuk parti itu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan adalah sangat tinggi.

“Saya mendapat persepsi dan pandangan yang positif kebolehan kita untuk menang kerusi Tanjung Piai.

“Malahan sambutan masyarakat Cina, India dan sebagainya juga amat menggalakkan. Saya tidak menafikan kebarangkalian untuk (PAKATAN) menang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Program Kayuhan Bomba Komuniti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di sini, hari ini.

Berhubung program berkenaan, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata seramai 100 anggota bomba komuniti menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer bermula dari Pejabat Jabatan Kastam sehingga Taman Negara Tanjung Piai.

Katanya ia bertujuan menyerahkan kit keselamatan kepada ketua kampung dan pengerusi masjid di beberapa buah kampung.

“Sebulan sekali bomba komuniti atau sukarelawan akan membuat aktiviti seperti kayuh basikal dan sebagainya.

“Ini antara latihan kerana ada ketika mereka harus gunakan basikal untuk cepat sampai ke kawasan terbakar, kecemasan memandangkan kebanyakan kawasan kampung kecil...jadi mereka boleh beri bantuan dengan cepat,” katanya.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 2,500 bomba komuniti seluruh negara.

“Hampir separuh daripadanya berada di Sabah kerana (Sabah) mempunyai kawasan pedalaman yang banyak, jadi banyak bomba komuniti diwujudkan.

“Kita memang menggalakkan sekurang-kurangnya satu (bomba komuniti) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi ini lebih (jumlah bomba komuniti) daripada kita harapkan.

"Memang perlu ada untuk bantu pasukan bomba induk apabila ada kecemasan ataupun kebakaran di kawasan pedalaman tertentu,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619