AGENDA

16 laporan urus niaga pertukaran tanah Kementerian Pertahanan

5 Nov 2019, 8:24 AM
16 laporan urus niaga pertukaran tanah Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima 16 laporan berhubung urus niaga pertukaran tanah (land swap) membabitkan Kementerian Pertahanan, sejak 25 tahun lepas.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata SPRM bagaimanapun memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Perlu difahami bahawa isu ‘land swap’ ini melibatkan senarai yang panjang, lebih daripada 25 tahun, kami memerlukan lebih banyak masa, di samping menghadapi pelbagai kesulitan dalam mendapatkan bukti serta pengesanan.

“Kita sedang bercakap tentang tempoh 25 tahun yang melibatkan menteri yang berbeza dan ia tidak semudah seperti menyerahkan laporan audit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-11 di sini, hari ini.

Latheefa menegaskan perkataan 'land swap' itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu perkara yang salah tetapi tujuan sesuatu pertukaran itu dibuat perlu dikenal pasti.

"Kita perlu tahu kenapa perjanjian itu dibuat dan kita sedang melakukan siasatan. Saya percaya tidak semua kes akan dibawa untuk pendakwaan dan kita perlu memberi sedikit masa," katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan susulan laporan Kementerian Pertahanan berhubung isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang sehingga kini belum diterima.

"Kes ini masih dijalankan, kami pastinya akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja kami selesai," katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut.

Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan akhir membabitkan pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan SPRM berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619