BERITA UTAMA

RTB Sungai Buloh pelan jangka panjang atasi banjir di Kuala Selangor

28 Okt 2019, 9:56 AM
RTB Sungai Buloh pelan jangka panjang atasi banjir di Kuala Selangor
RTB Sungai Buloh pelan jangka panjang atasi banjir di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 28 OKT: Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang sedang dilakukan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir di Daerah Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rancangan itu merupakan pelan jangka panjang yang dibangunkan Kerajaan Negeri di samping mencari lokasi sesuai untuk dijadikan kolam takungan air sebagai pelan jangka pendek ketika menghadapi banjir.

Katanya, terdapat tiga faktor utama menjadi punca banjir sejak Jumaat lalu yang menjejaskan beberapa kawasan di sini.

“Tiga faktor menjadi punca banjir iaitu pertukaran monsun yang bermula Oktober, fenomena air pasang menyebabkan paras sungai tinggi dan pelepasan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor yang sedikit sebanyak memberikan nilai tambah peningkatan paras air di lembangan Sungai Buloh.

“Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh telah diluluskan tetapi projek ini dinilai semula dari segi reka bentuk dan beberapa perkara lain.

“Bagi tempoh jangka pendek, kita akan melihat pembinaan kolam takungan dan jajaran baharu pelepasan air dari LRA Sungai Selangor.

“Proses itu akan mengambil sedikit masa kerana membabitkan soal pengambilan tanah tetapi jika melibatkan tanah Kerajaan Negeri ia dijangka dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, hari ini.

Amirudin sebelum itu meluangkan masa hampir dua jam meninjau perkembangan mangsa di sini dan mendengar taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Katanya, empat pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka sejak Jumaat lalu iaitu di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Sekolah Kebangsaan Jaya Setia, Sekolah Kebangsaan Ijok dan Sekolah Kebangsaan Pasangan.

Hanya pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfield sudah ditutup pada 12.36 tengahari tadi namun ia boleh dibuka semula bila-bila masa bergantung kepada keadaan hujan yang dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini.

Sehingga jam 4.30 petang, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dilaporkan adalah 912 orang daripada 249 keluarga.

Pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 591 orang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619