AGENDA

Pertuduhan CBT terhadap Najib selesai dengan penyelewengan RM42 juta

23 Okt 2019, 11:56 AM
Pertuduhan CBT terhadap Najib selesai dengan penyelewengan RM42 juta

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai apabila wang RM42 juta diseleweng daripada SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah dalam kes pecah amanah, kesalahan itu selesai apabila terdapat penyelewengan yang tidak jujur berhubung dana RM42 juta tersebut.

“Kami menyatakan wang itu telah disalahgunakan daripada SRC International Sdn Bhd. Jadi kesalahan itu selesai...persoalan mengenai resit wang itu tidak timbul. Ia tidak penting, tiada siapa yang kerugian atas kehilangan itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Sithambaram menjelaskan kes CBT dan pengubahan wang haram adalah dua pertuduhan yang berbeza yang memerlukan elemen yang berbeza untuk membuktikannya, dan mereka (pendakwaan) tidak membuat pertuduhan yang tidak betul.

“Kerugian/kehilangan salah atau keuntungan salah bukanlah ‘ramuan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT dan isu yang berkaitan dengan resit yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan bukanlah ‘bahan’ yang perlu dibuktikan dalam CBT.

“Resit itu adalah bahan bagi kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Sama ada ia adalah sama dengan RM42 juta dalam kes CBT bukanlah satu pertimbangan memandangkan bahannya berbeza,” katanya.

Menjawab hujah pihak pembelaan berkaitan kesahihan dan kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan sebagai bukti, Sithambaram berkata berdasarkan Seksyen 71 AMLA, membolehkan pendakwa raya atau pihak berkuasa untuk mendapatkan apa-apa dokumen atau salinan dokumen di bawah akta itu.

“Undang-undang membenarkan ia untuk diterima,” katanya dan menambah Parlimen yang meluluskan undang-undang itu telah membuat perbezaan jelas mengenai bagaimana bukti itu ditunjukkan di bawah akta ini, iaitu pertuduhan yang dihadapi Najib.

Najib, 66, berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619