AGENDA

KPKT kaji permohonan operasi pinjaman wang digital

23 Okt 2019, 4:50 AM
KPKT kaji permohonan operasi pinjaman wang digital

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji beberapa permohonan untuk menjalankan perkhidmatan pinjaman wang digital, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini masih belum ada lesen seumpama itu diluluskan memandangkan ia masih dalam proses penggubalan prosedur operasi standard (SOP) dan pindaan akta bagi membolehkan pinjaman wang secara digital dan konvensional dijalankan di negara ini.

“Kita akan lihat perkara ini sebagai suatu perkara positif kerana ia memudahkan transaksi antara peminjam dan pemberi pinjaman.

"Perkara ini sedang diteliti dan kita akan perketatkan kawalan bagi peminjam dan pemberi pinjaman,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu sekiranya KPKT bercadang menggubal akta bagi memastikan tidak berlaku penipuan pinjaman wang dalam talian.

Selain itu, Zuraida berkata, pihaknya juga sedang menggubal Akta Kredit Pengguna dalam usaha memastikan pengguna mendapat pinjaman wang berlesen yang patuh syariah.

“Akta ini digubal bertujuan melindungi pengguna supaya tidak dianiaya,” tambah Zuraida.

Menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) berkenaan kegiatan sindiket ceti haram ah long yang masih berleluasa di negara ini, Zuraida berkata, pihaknya mengambil tindakan menjejaki lokasi ah long terbabit melalui nombor telefon yang diiklankan.

“Untuk kes-kes ah long, kita kumpul maklumat dan kesan mereka ini. Kita kesan melalui nombor telefon yang diiklankan di merata tempat termasuk di laman sosial Facebook. Sekiranya ada kes, kita akan lapor kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tegasnya.

Zuraida berkata, sejak 2017 hingga 2019, pihaknya telah menerima sebanyak 1,416 aduan terhadap peminjam wang berlesen yang kini dikenali sebagai kredit komuniti.

Katanya, sebanyak 469 pertuduhan direkodkan, 251 dikenakan kompaun dan 299 tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Kalau kita lihat laporan yang diterima bagi kes-kes melibatkan kredit komuniti ini lebih menjurus kepada kesalahan melibatkan pengurusan yang mana tidak ada rekod dan sebagainya,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619