AGENDA

Kaji harga siling rumah bagi pembeli asing

19 Okt 2019, 10:30 AM
Kaji harga siling rumah bagi pembeli asing

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta kerajaan negeri mengkaji harga siling yang sesuai bagi pembelian rumah oleh warga asing di negeri masing-masing.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pengumuman penurunan had harga RM600,000 dalam Belanjawan 2020 hanya sebagai panduan dan menegaskan perkara itu akan dilaksanakan selama setahun bermula tahun depan.

"Ia dicadangkan Kementerian Kewangan memandangkan lambakan rumah tidak terjual.

"Jadi saya minta kerajaan negeri untuk nilaikan harga siling yang sesuai kerana mereka mempunyai kuasa dan sudah tentu harga siling setiap negeri berbeza...seperti Johor dengan Perak tidak sama. Mereka ada harga siling sendiri," katanya.

Zuraida berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Be Green anjuran Petronas Chemicals Group Berhad di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Petronas Chemicals Group Berhad Datuk Sazali Hamzah.

Program itu diadakan bertujuan memupuk kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan kitar semula dan penjagaan kebersihan Sungai Langat supaya dapat diperlihara sebagai tempat rekreasi bagi pengunjung.

Pada Selasa lalu, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican memaklumkan langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan stok hartanah yang tidak terjual khususnya unit komersial bernilai tinggi seperti kondominium.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Dalam pada itu Zuraida juga menyambut baik cadangan Menteri Pengangkutan Anthony Loke supaya projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) diberi kelonggaran mengurangkan bilangan petak letak kereta kerana ia mampu mengurangkan kos unit kediaman selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

"Apabila rumah dibina berdekatan pengangkutan awam tidak perlu lagi kita bagi kemudahan parkir, ini akan membantu anak-anak muda di bandar mengurangkan kos sara hidup mereka," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619