AGENDA

10 peratus setuju bayar kompaun 1MDB

18 Okt 2019, 7:04 AM
10 peratus setuju bayar kompaun 1MDB

PUTRAJAYA, 18 OKT: Kira-kira 10 peratus daripada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan persetujuan untuk membayar kompaun selepas menerima notis pada 7 Oktober lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, mereka yang bersetuju itu sedia untuk membayar secara ansuran dan "ia akan dibincangkan kemudian".

Beliau berkata, 40 peratus daripada individu dan entiti terlibat mahu mengambil tindakan mahkamah manakala 45 peratus lagi menghantar surat untuk membuat rayuan.

"Tiga individu tidak mahu terima notis kompaun," katanya pada sidang media di sini hari ini. Turut menyertai sidang media berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Azam berkata jumlah kutipan daripada 80 individu dan entiti itu akan diumumkan kemudian.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang tersenarai dalam notis kompaun 1MDB itu, yang mempertikaikan cara pengiraan, Azam berkata SPRM mengikut undang-undang di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

"Kalau ada pihak yang mempertikaikan tentang cara pengiraan, itu terpulang. SPRM hanya mengikut undang-undang dan tidak ada silap pengiraan di sini," katanya.

Mengenai proses tuntutan wang daripada 1MDB, Azam berkata satu pasukan telah ditubuhkan beberapa tahun lepas bagi mengesan aset 1MDB di seluruh dunia.

"Pasukan ini sedang cuba mengesan di mana aset-aset itu berada dan pihak mana yang boleh bekerjasama kerana ia banyak melibatkan bidang kuasa termasuk negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Setiap pihak ini ada bidang kuasa tersendiri," katanya.

Azam berkata pasukan itu akan menghubungi pihak penyiasat di negara tersebut untuk berbincang dan mendapat maklumat lanjut bagi mengesan aset 1MDB yang diselewengkan ke negara berkenaan.

Mengenai penahanan dua pegawai Felda di Pahang berhubung siasatan membabitkan pembelian Stadium Jengka, Azam mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua individu itu direman lima hari.

Beliau berkata kes adalah berkaitan salahguna kuasa dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619