AGENDA

Kertas Putih Pertahanan dibentang 2 Disember

14 Okt 2019, 10:23 AM
Kertas Putih Pertahanan dibentang 2 Disember

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kertas Putih Pertahanan Negara kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, deraf awal kertas putih itu telah diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

“Ini adalah peringkat akhir dan kertas putih ini adalah sebagai panduan untuk Kementerian Pertahanan dalam rancangan 10 tahun bagi kementerian itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera merangkap Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Mohamad berkata, Kertas Putih Pertahanan yang pertama kali dibuat di Malaysia itu mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan adalah penerima kelima terbesar dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 billion.

Beliau berkata, bagi program kesiapsiagaan dan operasi dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahan, sebanyak RM5.7 billion diperuntukkan kepada Tentera Darat Malaysia, TLDM (RM2 bilion), Tentera Udara Diraja Malaysia (RM2.5 bilion) dan RM1.4 bilion untuk Angkatan Bersama.

“Komitmen akan diteruskan bagi memastikan setiap perancangan perbelanjaan mengikut prosedur sedia ada bagi mengelak berlakunya pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Reza, berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan kira-kira 20 bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Crafts) sebagai usaha mempertahankan perairan negara terutama di Sabah.

Beliau berkata kira-kira RM220 juta disediakan untuk membeli bot itu dan tender telah dibuka bagi proses pembelian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619