AGENDA

Cuti umum sempena Hari Keputeraan Agong wajib diberi kepada pekerja

4 Sep 2019, 2:23 PM
Cuti umum sempena Hari Keputeraan Agong wajib diberi kepada pekerja

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 September adalah antara lima cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini menyebut bahawa perkara itu ditetapkan mengikut seksyen 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan kepada tarikh lain.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya majikan dan pekerja sektor swasta berkaitan cuti am sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas dan Hari Keputeraan Baginda pada 9 September ini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am tambahan sempena majlis pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan cuti itu diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Cuti ini adalah cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. Berdasarkan peruntukan ini, majikan boleh menggantikan cuti umum kepada pekerjanya. Dalam hubungan itu, majikan dikehendaki memberitahu pekerjanya sama ada majikan memilih tarikh 30 Julai 2019 sebagai cuti umum atau menggantikan ke tarikh lain dalam tahun ini juga," katanya.

Menurut kenyataan itu, sekiranya tiada penggantian dibuat, pekerja yang bekerja pada tarikh itu hendaklah dibayar kadar gaji cuti umum.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619