AGENDA

Najib sahkan tandatangan pada dokumen bank

19 Ogos 2019, 1:13 PM
Najib sahkan tandatangan pada dokumen bank

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa semua tandatangan yang terdapat pada dokumen berkaitan tiga akaun semasa peribadi AmIslamic Bank Berhad miliknya, adalah tandatangannya.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain berkata, semua dokumen itu adalah borang pembukaan akaun bank, surat arahan pindahan wang dan borang berkaitan kad kredit.

Semasa ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim sama ada beliau ada bertanyakan kepada Najib mengenai semua tandatangan dalam dokumen-dokumen itu adalah tandatangannya, saksi pendakwaan ke-57 berkata; “ada”.

Suhaimi : Adakah kamu menjalankan siasatan berkenaan perkara itu?

Rosli : Ada

Suhaimi : Apa siasatan yang dijalankan?

Rosli : Semasa penyataan daripada Datuk Seri Najib diambil. Penyataan diambil tiga kali oleh SPRM. Penyataan pertama pada 5 Disember 2015, penyataan kedua 22 Mei 2018 dan penyataan ketiga telah diambil pada 24 Mei 2018.

Beliau berkata, semua dokumen itu telah dirujuk kepada Najib dan beliau sahkan tandatangan tersebut adalah tandatangan beliau dan tiada penafian dibuat oleh beliau.

Pada peringkat ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berkata keterangan Rosli itu adalah 'dengar cakap' semata-mata dan tidak boleh diterima mahkamah melainkan ia disokong oleh dokumen yang disahkan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihaknya akan membangkitkan isu tersebut semasa hujahan.

Terdahulu, saksi itu yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut turut mengesahkan sepucuk salinan surat kebenaran daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan bagi membenarkan seorang individu, Kee Kok Thiam untuk mendeposit wang dalam bentuk tunai ke dalam akaun peribadi milik Najib.

Surat itu dikeluarkan Nik Faisal pada 2014 dan Kee merupakan kenalan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

"Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan dokumen asal bagi surat kebenaran itu gagal kerana surat itu berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia dan pihak Ambank hanya menyimpan salinan," katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619