AGENDA

Berlabuh tanpa kebenaran, kapal mini tanker ditahan APMM

18 Ogos 2019, 6:47 AM
Berlabuh tanpa kebenaran, kapal mini tanker ditahan APMM

JOHOR BAHRU, 18 OGOS: Sebuah kapal jenis ‘Mini Tanker’ ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS), Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia itu, ditahan oleh bot ronda agensi berkenaan di kedudukan 3.1 batu nautika timur Tanjung Penyusop pada pukul 6.45 petang.

Katanya, kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda dan enam kru kapal yang mana kesemuanya lelaki warganegara Indonesia, berumur antara 24 hingga 61 tahun.

“Penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tanpa muatan tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Pengarah Laut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mohd Zulfadli berkata, penahanan tersebut merupakan kes yang ke 24 melibatkan kesalahan di bawah Ordinan sama bagi ZMTS pada tahun ini.

Beliau menambah, pihaknya sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara khususnya di perairan Johor Timur.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619