AGENDA

Pertumbuhan kukuh KDNK bukti daya tahan Malaysia

17 Ogos 2019, 5:43 AM
Pertumbuhan kukuh KDNK bukti daya tahan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2019 Malaysia yang berkembang pada 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya, hanya membuktikan kemampuan daya tahan negara dalam senario persekitaran global yang mencabar.

Malah, pencapaian yang mengatasi jangkaan pasaran, turut menggambarkan keberkesanan pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) juga menyifatkan angka pertumbuhan KDNK pada 4.9 peratus itu juga mengatasi konsensus pasaran 4.7 peratus yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

“Ini jelas berlaku ketika beberapa rakan dagang utama Malaysia sedang mengalami pertumbuhan lebih perlahan akibat pelbagai faktor termasuk perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan.

"Malaysia juga adalah antara sekumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku kedua lebih pantas berbanding suku sebelumnya," kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan itu.

Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku kedua itu disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berkembang sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun yang lebih pesat daripada 4.4 peratus pada suku pertama 2019.

Lim bagaimanapun mengingatkan, walaupun pertumbuhan Malaysia pesat, pihak kerajaan tidak akan mengetepikan risiko tinggi akibat perang perdagangan AS-China yang terus ketara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa berjaga-jaga dan akan terus memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi domestik secara mampan dan menyediakan langkah-langkah pengembangan luar jangka jika perlu bagi menangani sebarang impak daripada perang perdagangan itu.

"Kejayaan kerajaan menguruskan kewangan secara berhemat menerusi usaha pembaharuan sejak setahun lepas akan membolehkan Malaysia menangani (sebarang krisis) secara wajar, sekiranya perlu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sememangnya memantau kelemahan permintaan global serta impaknya terhadap ekonomi domestik.

Untuk rekod, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lepas telah bertindak menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK global 2019 kepada 3.2 peratus daripada 3.3 peratus manakala awal tahun ini, ia menjangkakan ekonomi dunia pada 2019 akan berkembang pada 3.5 peratus.

Kelemahan permintaan itu disebabkan oleh ketegangan perdagangan yang berterusan. Namun Bank Dunia sebaliknya mengunjurkan bahawa KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus bagi keseluruhan 2019.

Selain itu, pertumbuhan KDNK yang kukuh, beserta konsolidasi kos dan keetelusan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah antara faktor yang menyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred tinggi atau A- atau A3, kata kenyataan itu.

Pada 18 Julai, 2019, pihak Fitch Ratings mengesahkan penarafan kredit kerajaan pada A- dengan unjuran stabil dan ini turut disusuli tindakan sama oleh S & P Global Ratings pada 3 Julai lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619