AGENDA

AG akan tentukan sama ada perlu inkues kematian Nora Anne

14 Ogos 2019, 5:18 AM
AG akan tentukan sama ada perlu inkues kematian Nora Anne

SEREMBAN, 14 OGOS: Hasil laporan bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.

Peguam yang mewakili keluarga Nora Anne, Sankara Nair berkata, ia adalah prosedur biasa yang perlu dilakukan dan Peguam Negara akan menentukan tindakan lanjut.

“Secara prosedur apa yang akan berlaku ialah satu salinan laporan bedah siasat akan diserah kepada pejabat AG (Peguam Negara) dan terserah kepada AG membuat keputusan atau mengarahkan tentang keperluan mengadaka inkues.

"Biasanya kematian secara mengejut seperti ini akan membawa kepada inkues tetapi sekali lagi ia bergantung kepada bukti yang dibentangkan dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya kehadiran keluarga Nora Anne di Jabatan Perubatan Forensik HTJ pagi ini, Sankara berkata ia bertujuan mengesahkan identiti mayat itu sekali lagi sebelum bedah siasat dimulakan.

Mengulas mengenai keadaan keluarga Nora Anne, Sankara berkata setakat ini keluarga masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih.

"Kami belum membincangkan rancangan seterusnya ... Saya rasa mereka masih menimbangkan tindakan seterusnya dan mereka masih bersedih dan saya fikir ia belum ada dalam fikiran mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat mayat Nora Anne akan mengambil masa lebih 3 jam.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada 1.57 tengah hari dan disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne,15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619