AGENDA

Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya

6 Ogos 2019, 7:47 AM
Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah mustahil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan wang yang depositkan ke dalam akaunnya tanpa pengetahuannya.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang mengendalikan akaun Najib berkata, sebagai pemegang akaun, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap akaunnya terutamanya apabila mengeluarkan beberapa cek.

Saksi pendakwaan ke-54 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sithambaran : Sebagai pegawai bank, melihat kepada fakta kes ini, adakah mungkin pemegang akaun menggunakan dana tanpa pengetahuan? Kamu perlu tahu yang kamu memerlukan dana (mencukupi) untuk mengeluarkan cek.

Yu : Tidak.

Sithambaran : Adakah terdapat sebarang aduan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan bukan daripadanya (Najib).

Yu : Tiada.

Sithambaran : Adakah Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) menggunakan cek daripada Najib?

Yu : Saya tidak tahu kerana saya tidak mengetahui semua maklumat daripada cek tetapi daripada apa yang saya lihat setakat ini, tiada.

Sirthambaran : Ada cek yang dibayar kepada Jho Low?

Yu : Tiada.

Sithambaran : Adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang daripada akaun ini?

Yu : Tidak.

Sithambaran : Adalah kamu memindahkan sebarang wang untuk faedah kamu?

Yu : Saya tidak berbuat demikian.

Sithambaran juga menyoal sama ada Najib pernah bertanya mengenai sumber wang dan saksi itu menjawab: “tidak.”

Kepada soalan sama ada mungkin bagi seseorang mengetahui sekiranya terdapat RM395 juta (di dalam akaun), Yu berkata: “Jika seseorang menulis sekeping cek, dia tentunya tahu terdapat dana yang mencukupi,”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619