AGENDA

Persiapan pelancaran bulan kebangsaan, kibar Jalur Gemilang lancar

2 Ogos 2019, 2:21 AM
Persiapan pelancaran bulan kebangsaan, kibar Jalur Gemilang lancar

MELAKA, 2 OGOS: Kerajaan negeri kini sedang giat mempersiapkan lokasi bagi pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang dijadual malam esok di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, persiapan majlis yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjalan lancar dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebanyak 25 ruang pameran disediakan sepanjang program selama tiga hari itu bagi memudahkan maklumat dan informasi mengenai program serta inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.

“Saya telah meninjau persiapan dan mendapatkan maklumat perjalanan program yang bakal berlangsung terutama acara kemuncak malam perasmian... Melaka telah bersedia menjadi tuan rumah dan menjayakan acara pada kali ini.

“Pemilihan Melaka kerana sejarah negeri dan Malaysia bermula di sini... ia amat penting dalam menerapkan semangat kemerdekaan kepada generasi muda terutamanya dalam era Malaysia Baharu, iaitu bukan kita melupakan sejarah tetapi Malaysia Baharu ialah kita menjiwai sejarah itu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas meninjau persiapan di sini, lewat malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim.

Pelbagai acara menarik dirancang bermula hari ini sehingga 4 Ogos dengan pelbagai aktiviti termasuk program keagamaan, Konvoi Kembara Jalur Gemilang, pameran ‘Caring Bridge’, karnival trak makanan, dan jualan My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Raptai pelancaran dijadual berlangsung 8 malam ini dan setakat ini beberapa khemah seperti khemah VIP, VVIP dan pentas persembahan telah siap dipasang.

Pagi esok program dimulakan dengan Larian Merdeka dan senamrobik manakala Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 diadakan pada sebelah malam diikuti dengan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, serta konsert ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang menampilkan persembahan artis-artis tanahair serta pertunjukan bunga api. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619