AGENDA

Kerajaan lulus RM34 juta sambung bina rumah kedua generasi Felcra

22 Jul 2019, 1:57 PM
Kerajaan lulus RM34 juta sambung bina rumah kedua generasi Felcra

PASIR SALAK, 22 JUL: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34 juta bagi meneruskan pembinaan rumah generasi kedua Felcra di seluruh negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, terdapat 675 unit rumah generasi kedua Felcra di lima lokasi seluruh negara antaranya di Pekan serta Bera Pahang, serta Sukau di Kinabatangan, Sabah tertangguh pembinaannya dan memerlukan RM73 juta untuk diteruskan.

"Perkara ini telah diangkat, dibincang (di Kabinet) dan untuk peringkat awal kerajaan setuju meluluskan RM34 juta bagi meneruskan projek ini.

"Ini termasuk 140 unit di Pekan, Pahang...walaupun di Pekan, saya luluskan juga, 123 unit di Sukau serta (tanpa menyatakan unit) di Bera, Pahang," kata Azmin semasa berucap pada majlis Silaturrahmi Bersama warga Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

(Kawasan Parlimen Pekan diwakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

Selain itu, Mohamed Azmin memberi jaminan untuk membawa isu tunggakan pembayaran kepada Koperasi Peserta Felcra berjumlah RM21 juta kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Kementerian Kewangan sambil berharap ia dapat diselesaikan segera.

Selain itu, Mohamed Azmin meminta agar pihak pengurusan Felcra memberi keutamaan kepada Koperasi Peserta Felcra sekiranya terdapat projek seperti membangunkan kawasan perladangan agar dapat menjana pendapatan koperasi.

"Ini selari dengan shares prosperity (kemakmuran saham). Jika beri keutamaan kepada mereka maka mereka akan ada pengalaman dan kebolehan serta boleh membayar dividen kepada peserta," katanya.

Beliau menarik perhatian apabila mencadangkan pengurusan Felcra supaya tidak menggunakan keseluruhan kawasan tanah yang ada untuk menanam getah dalam projek tanaman semula.

Sebaliknya, beliau berkata sebahagian kawasan perlu diusahakan dengan tanaman kontan yang mampu memberikan pulangan cepat seperti nanas yang bukan sahaja terjamin, malah mempunyai permintaan tinggi. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619