AGENDA

KSM hasrat wujud bandar integrasi TVET di Tanjung Malim

19 Jul 2019, 7:49 AM
KSM hasrat wujud bandar integrasi TVET di Tanjung Malim

MELAKA, 19 JUL: Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat mewujudkan sebuah bandar integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menghimpunkan universiti, industri dan pusat penjanaan inovasi bagi memartabatkan bidang TVET pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, bandar tersebut akan dicadang dibangunkan di Tanjung Malim, Perak atas tanah milik kementerian itu melibatkan keluasan kira-kira 24.28 hektar namun pembangunan bandar itu bergantung pada kejayaan program atau inisiatif yang dilaksanakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Cadangan ini termasuk pembinaan universiti TVET baharu dilontarkan kepada Menteri Sumber Manusia dan beliau memberi respons positif kerana melihat ia adalah satu inisiatif positif selain kementerian mempunyai tanah kosong di Tanjung Malim.

"Saya fikir lokasi tersebut sangat sesuai sebab di situ ada Proton, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan sebagainya dan ia boleh menjadi satu bandar hebat dari aspek akademik, kemahiran dan industri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kerjasama Staretgik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di MTUN di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Suimi Abdul Majid dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata bandar integrasi TVET itu merupakan satu daripada usaha kementerian untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang TVET selain memberi jaminan masa depan yang lebih baik untuk lepasan graduan bidang itu.

Beliau berkata pembangunan bandar itu juga selaras dengan harapan untuk meningkatkan pemikiran rakyat khususnya generasi muda ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar pada masa hadapan dan bukannya menjadi negara pengguna.

"Kita baru hendak merangkak ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0 sedang negara lain telah melepasinya dan ada yang telah mencapai IR 5.0," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 10 program Sarjana Muda Teknologi yang akan ditawarkan di rangkaian MTUN selama tiga tahun bermula September depan akan memberi nafas baharu kepada pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di bawah Kementerian Pendidikan.

"Program ini julung kali diperkenalkan dan ia dibentuk berasaskan 'asas pekerjaan' yang mirip kepada asas pembentukan DKM, DLKM dan DVM dan pemegang diploma tersebut mempunyai potensi tinggi diterima menyambung pelajaran di rangkaian MTUN iaitu di UTeM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis," katanya

Katanya 10 program Sarjana Muda Teknologi itu ialah Pembinaan Bangunan; Penyejukan dan Penyaman Udara Industri; Hospitaliti; Pemesinan Industri; Kimpalan; Automotif; Penyelenggaraan Sistem Elektrik; Automasi Elektronik Industri; Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas; serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Sementara itu, Raha berkata UTeM akan menawarkan dua program Sarjana muda Teknologi dalam bidang Kimpalan dan Permesinan bermula September depan. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619