NASIONAL

Guna kupon lelong durian

14 Jul 2019, 9:22 AM
Guna kupon lelong durian

TUMPAT, 14 JULAI: Dengan hanya RM10, orang ramai yang mengunjungi gerai menjual durian milik seorang peniaga di Kampung Semat Jal di sini, boleh mengukir senyuman apabila boleh membawa pulang sekurang-kurangnya 10 biji durian.

Bagaimanapun, setiap pembeli perlu datang ke gerai itu seawal 8 pagi bagi mendapatkan kupon yang disediakan oleh peniaga berkenaan bagi mengelak berlakunya suasana kecoh.

Pemilik gerai 'Pemburu Buah Group' itu, Shahmi Azani Mohd Tanazi, 26, berkata beliau memilih menjual durian dengan kaedah itu bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati buah yang kini menjadi rebutan ramai.

Beliau berkata konsep isi 'sampai penuh plastik' itu dimulakan sejak dua minggu lalu dan setiap hari sebanyak 20 tan durian berjaya dijual.

Katanya orang ramai yang memiliki kupon bermula nombor satu sehingga 100 akan beratur mengikut giliran dan apabila nama dipanggil mulai pukul 10 pagi mereka dibenarkan mengisi durian ke dalam plastik seberapa banyak yang boleh diisi.

Shahmi Azani berkata bekalan durian yang dijualnya itu diperoleh dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan dan sejak dijual bermula dua minggu lalu, bekalan raja buah itu tidak pernah putus.

"Apabila menjual (durian) secara longgok dengan harga yang murah, sudah pasti mendapat sambutan hangat sehingga terpaksa menggunakan kupon bagi mengelakkan mereka berebut dan mendatangkan risiko terutama kepada warga emas dan ibu mengandung, “ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain durian kampung, gerai itu turut menjual pelbagai jenis durian seperti Musang King, D2, D13, Udang Merah, D88, Holo, D24, IOI, durian kahwin dan durian Cikgu secara timbang bermula dari RM3 sehingga RM25 untuk satu kilogram.

"Saya sudah mengusahakan perniagaan ini sejak 11 tahun dan setiap kali musim durian, lokasi di sini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai,” katanya sambil menambah setiap hari durian habis dijual kepada pembeli dari merata tempat di negeri ini termasuk Bachok, Ketereh, Kok Lanas, Wakaf Che Yeh dan juga Terengganu.

Seorang pembeli yang ditemui, Mansor Abdullah, 45, berkata keluarganya memang penggemar durian dan amat bertuah kerana ada peniaga yang prihatin yang sanggup menjual durian dengan kaedah seperti ini.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya dan keluarga merasa buah durian hari ini dengan harga yang murah," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619