NASIONAL

SPRM terima maklumat dakwaan aktiviti rasuah di Kuala Koh

11 Jul 2019, 7:38 AM
SPRM terima maklumat dakwaan aktiviti rasuah di Kuala Koh

KOTA BHARU, 11 JUL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan kemungkinan wujud aktiviti rasuah di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan aktiviti tersebut setakat ini.

"Kami terima maklumat dan kami sedang siasat tetapi saya tidak boleh membincangkan operasinya ia akan menjejaskan apa jua siasatan risikan dan sebagainya, jadi saya tidak boleh memberikan komen mengenainya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Latheefa juga tidak mendedahkan maklumat berkenaan diterima daripada pihak mana atau adakah siasatan itu berhubung aktiviti berkaitan perlombongan mahupun pembalakan.

Baru-baru ini, 15 Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak yang mengakibatkan pneumonia (radang paru-paru).

Beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran air Sungai Lebir namun dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan ketika membuat tinjauan ke perkampungan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek untuk dibawa ke mahkamah dihentikan sejak 1 Julai lepas lagi.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi kepada masyarakat bahawa sesiapa yang ditahan tidak patut diberikan tanggapan ‘bersalah’ sehingga ia dibuktikan oleh mahkamah.

"Imej pemakaian itu dianggap seorang yang bersalah (sebelum ini) jadi sebab itu kami mengatakan bahawa sesiapa yang ditahan sehingga dia disabitkan bersalah dan dihukum, dia patut diberi tanggapan ‘tidak bersalah’.

"Dari segi prinsip itu kami mengatakan mulai tarikh itu (1 Julai) ia berkuat kuasa supaya imej pemakaian baju SPRM itu tidak digunakan bagi mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) yang ditahan," katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan lebih satu jam antara Latheefa dengan Nazran membincangkan mengenai inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan dibawa ke peringkat negeri selain cadangan dan tawaran kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan berkaitan isu pengisytiharan harta. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619