NASIONAL

Pakar fizik UiTM akan dipanggil bantu inkues Adib

5 Jul 2019, 4:07 AM
Pakar fizik UiTM akan dipanggil bantu inkues Adib

SHAH ALAM, 5 JUL: Mahkamah Koroner di sini memutuskan untuk memanggil seorang pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung pengiraan daya hentaman.

Koroner Rofiah Mohamad berkata pakar berkenaan, Amir Radzi Ab Ghani yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di universiti berkenaan, dijadual memberi keterangan sebagai saksi ke-30 pada 16 dan 17 Julai ini.

"Pastikan saksi dimaklumkan dan bersetuju untuk membantu mahkamah dari segi persoalan dalam prosiding inkues yang diperlukan pada 16 Julai nanti," katanya dalam prosiding inkues yang masuk hari ke-40 hari ini.

Keperluan untuk memanggil pakar fizik bagi memberi keterangan dalam prosiding berkenaan wujud selepas terdapat perbezaan daripada dua pakar yang memberi keterangan dalam prosiding inkues iaitu formula dikemukan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (saksi ke-24) dan Perunding Kanan Patalogi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd. Wahid (saksi ke-29) berhubung pengiraan daya hentaman.

Sementara itu, keputusan atas cadangan Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin supaya seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berkenaan, Rofiah berkata keputusan itu akan diputuskan selepas mahkamah mendengar keterangan Amir Radzi.

"Berhubung untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, ia masih dipertimbang dan perlu selesaikan dahulu keterangan daripada pakar fizik nanti,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619