NASIONAL

Tutup semua kilang haram di Pasir Gudang - Bee Yin

4 Jul 2019, 5:22 AM
Tutup semua kilang haram di Pasir Gudang - Bee Yin

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Kerajaan akan memastikan semua kilang yang didapati beroperasi secara haram di Pasir Gudang, Johor ditutup, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ini antara langkah bagi mengawal kualiti udara di kawasan berkenaan yang kini sekali lagi berdepan isu pencemaran selepas insiden Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

“Hari ini saya ada satu mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, kita akan membuat sesuatu yang mana kita nak sasar kilang-kilang haram. Dalam masa sebulan ini kita akan adakan operasi bersepadu supaya kita tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya juga nak minta anggota-anggota Dewan Rakyat dan rakyat di Pasir Gudang supaya lapor kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kalau ada maklumat tentang kilang-kilang haram, kita akan pergi dan tutup,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kedua-dua insiden di kawasan berkenaan.

Bee Yin menegaskan apa yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah kualiti udara di Pasir Gudang ialah anjakan paradigma dan mencari pendekatan berbeza berbanding sebelum ini.

Menteri itu seterusnya berkata beberapa pendekatan lain turut digariskan termasuk mewujudkan sebuah pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang dan membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’.

Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar toksik automatik secepat mungkin dan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di Pasir Gudang termasuk memasang alat pemantauan secara berterusan.

“Kementerian juga akan adakan program sekolah angkat oleh industri terutama bagi sekolah berisiko tinggi yang mana lokasi mereka dekat dengan kilang, dan industri-industri ini akan bekalkan kemudahan seperti gas detector dan air purifier ke sekolah angkat masing-masing,” katanya.

Bee Yin menegaskan kerajaan mengambil berat isu pencemaran udara serta telah meningkatkan dengan begitu ketara tahap pemantauan dan penguatkuasaan di Pasir Gudang selepas insiden di Sungai Kim Kim.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619