NASIONAL

NIOSH: Semua pihak terlibat perlu patuhi peraturan

2 Jul 2019, 2:09 PM
NIOSH: Semua pihak terlibat perlu patuhi peraturan

JOHOR BAHRU, 2 JUL: Semua pihak yang terlibat dalam operasi pencemaran toksik perlu mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan termasuk menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihak majikan termasuk organisasi media yang membuat liputan, perlu menyediakan PPE yang sesuai sebelum menghantar wartawan dan jurugambar ke lokasi terlibat.

"Amat malang apabila ada antara para petugas termasuk dari organisasi media, turut menjadi mangsa ketika berada di kawasan tercemar.

"Kes sebegini seharusnya menjadi peringatan kepada mereka (organisasi media) mengenai risiko yang dihadapi para petugas ketika berada di lapangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan individu yang ingin ke lokasi pencemaran mendapatkan nasihat pakar termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan NIOSH mengenai PPE yang sesuai digunakan termasuk jenis topeng keselamatan dan respirator yang mampu menapis udara tercemar dengan berkesan.

Terdahulu, Lee melawat jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang sini hari ini.

Mohd Azren Jamaludin, 33, dimasukkan ke hospital sejak Sabtu selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau, yang ditugaskan membuat liputan isu pencemaran udara sejak seminggu lepas, kini masih di bawah pengawasan doktor kerana turut disahkan dijangkiti virus Influenza B. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619