NASIONAL

Tiada sesi ganti bagi sekolah di Pasir Gudang

30 Jun 2019, 2:36 AM
Tiada sesi ganti bagi sekolah di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 30 JUN: Tiada sesi persekolahan ganti bagi kesemua 111 sekolah kebangsaan dan menengah yang ditutup di Pasir Gudang sejak Selasa lepas (25 Jun) akibat gangguan kesihatan sesak nafas dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata bagaimanapun, beliau akan memastikan pihak sekolah melakukan penjajaran sekiranya berlaku defisit pembelajaran semasa tempoh penutupan sekolah tersebut.

"Kita akan memastikan bahawa sekiranya berlaku defisit pembelajaran semasa cuti tempoh hari, penjajaran akan dibuat pihak sekolah melalui aktiviti pembelajaran yang tertentu. Itu (penjajaran) kita akan serahkan kepada pihak sekolah.

"Penjajaran itu termasuklah kelas tambahan, tetapi semasa tempoh penutupan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah menyediakan pelbagai bahan pembelajaran alternatif menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, email, VLE dan Eduweb Tv,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang Empat, di sini hari ini.

Azman berkata, secara keseluruhannya, sekolah beroperasi seperti biasa hari ini dan kehadiran para pelajar berada pada tahap yang baik.

"Setakat ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan pelajar juga nampaknya tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, Jabatan Kesihatan negeri juga akan memberikan taklimat keselamatan dan pencegahan kepada 18 sekolah hari ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Taman Nusa Damai, SK Pasir Gudang Empat dan SK Kopok.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas usaha dan inisiatif untuk membantu.

"Ini merupakan support sistem yang diberi kepada pihak sekolah sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619