SELANGOR

Lebih 5,000 hadiri jamuan raya MPAJ

29 Jun 2019, 1:45 AM
Lebih 5,000 hadiri jamuan raya MPAJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 29 JUN: Walaupun Syawal semakin hampir ke penghujung, namun kemeriahan sambutannya masih dirasai dengan penganjuran Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Dataran Menara MPAJ, di sini malam tadi.

Acara tradisi tahunan Pihak Berkuasa Tempatan itu bermula sekitar 8 malam dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sambutan berkenaan juga diadakan khusus untuk Pengerusi Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau yang mewakili masyarakat setempat.

"Sambutan begitu menggalakkan dan ini kali pertama kita mengadakan sambutan hari raya pada waktu malam dengan memakai pakaian bertemakan busana tradisional.

"Kakitangan daripada setiap jabatan dipertanggungjawab menyediakan gerai serta menu masing-masing dan kita dapati mereka dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan gembira," katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang berkelapangan hadir bagi memeriahkan acara terbabit.

"Diharapkan penduduk dapat memberi kerjasama kepada kita dalam apa jua perkara yang dilaksanakan supaya hubungan antara MPAJ dengan masyarakat dapat dikekalkan," katanya.

Aneka juadah makanan disajikan antaranya ketupat, rendang, lemang, sate, kambing bakar, 'steamboat', mi sup serta pelbagai masakan lain.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular tanah air, Siti Nordiana termasuk beberapa persembahan lain.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619