NASIONAL

Guru perlu latihan khusus kendali kes disiplin mirip jenayah

29 Jun 2019, 1:23 AM
Guru perlu latihan khusus kendali kes disiplin mirip jenayah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Golongan guru perlu diberi latihan khusus untuk mengendalikan kes disiplin di sekolah yang mirip kepada perlakuan jenayah, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mengatasi masalah disiplin pelajar yang dilihat semakin membimbangkan pada masa kini.

“Kes mirip kepada jenayah ini seperti membuli, mencuri, salah laku seksual, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Jika dahulu perkara ini kurang berlaku tetapi sekarang fenomenanya berbeza kerana masyarakat lebih kaya serta berkemampuan dan perkara itu sendiri wujud dalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada kes jenayah di sekolah.

“Oleh itu, sangat penting bagi seorang guru diberi latihan dan pendedahan bagi mengendalikan kes-kes berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini malam tadi.

Harry Tan berkata seseorang guru itu perlu diberi pendedahan dari segi undang-undang dan memiliki pengetahuan bahawa perkara dilakukan seperti memberi hukuman kepada pelajar atas kesalahan tertentu, tidak menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata dua perkara yang perlu diambil berat oleh guru dalam proses pembelajaran adalah mengenai pendidikan psikologi dan sosial.

“Apabila seseorang guru itu mendidik, dua perkara itu perlu ada, tetapi sekarang masyarakat hanya fokus untuk pelajar nak dapat ‘A’. Oleh itu guru akan lebihkan kepada bagaimana nak bagi pelajar dapat ‘A’, jadi perkara seperti itu (pendidikan psikologi dan pendidikan sosial) dibelakangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa perkara perlu ada bagi seorang guru dalam membentuk peribadi dan menangani disiplin pelajar.

Beliau berkata antaranya ialah melalui sikap mencegah dengan cara merancang aktiviti dalam kelas bagi menghindarkan pelajar melakukan perkara tidak sihat, perlu selalu memberi sokongan kepada pelajar dan sentiasa membetulkan disiplin mereka, jelasnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619