NASIONAL

Perang dagangan tidak untungkan sesiapa dalam jangka panjang

15 Jun 2019, 2:11 PM
Perang dagangan tidak untungkan sesiapa dalam jangka panjang

BATU KAWAN, 15 JUN: Walaupun Malaysia sedang menikmati manfaat akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, namun impak itu bersifat sementara kerana pertikaian sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak dalam jangka panjang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertikaian antara dua kuasa besar ekonomi itu memberi manfaat kepada Malaysia dari segi penempatan semula perniagaan serta lencongan dagangan dan pelaburan tetapi negara ini akan turut merasai tempias kelembapan ekonomi jika pertikaian itu terus berlanjutan.

“Walaupun Malaysia antara negara yang mendapat manfaat, namun perang perdagangan tersebut tidak menguntungkan sesiapa. Tiada (pihak) yang menang, sebaliknya hanya rugi.

"Oleh itu, kita berharap China dan AS dapat mencapai penyelesaian. Kita juga berharap Presiden Donald Trump yang akan ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Negara atau G20, dapat melihat kepentingan global yang lebih luas," katanya merujuk persidangan yang akan diadakan di Osaka pada 28 hingga 29 Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata AS menyumbang 20 peratus kepada ekonomi global manakala China sebanyak 16 peratus dan sebarang pertikaian berpanjangan akan menjejaskan perdagangan global.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji langkah Hotayi Electronic untuk membuat pelaburan RM1 bilion di Pulau Pinang dalam usaha mengembangkan kapasiti pengeluaran serta menjadi rakan strategik bagi pembuatan pintar di ASEAN.

Menurutnya, syarikat itu kini mempunyai seramai 850 pekerja di negeri dan pelaburan tersebut akan meningkatkan jumlah pekerja kepada lebih 1,000 orang.

Malah, keperluan pekerja mahir itu adalah seiring dengan aspirasi kerajaan bagi membolehkan sektor swasta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dengan gaji menarik untuk rakyat negara ini, katanya.

"Pihak pengurusan Hotayi Electronic telah memaklumkan saya bahawa mereka juga aktif melahirkan tenaga kerja kejuruteraan baharu dan pekerja mahir sejajar dengan dasar kebangsaan 'Industry4WRD'. Malah, kilang baharu Hotayi melaksanakan konsep (Revolusi Perindustrian) Industri 4.0 dan menggabungkan ciri pemuliharaan tenaga bagi mengurangkan jejak karbon," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619