NASIONAL

Imigresen tahan 130 warga asing

15 Jun 2019, 1:29 AM
Imigresen tahan 130 warga asing

KAJANG, 15 JUN: Seramai 130 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di 53 unit pangsapuri di Kajang, pihaknya menahan 78 rakyat Nigeria, enam Filipina dan masing-masing seorang India dan Pakistan serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Beliau berkata, seramai 40 lagi rakyat asing ditahan dalam operasi di sebuah kawasan kediaman di Puchong, iaitu dari Nepal, Myanmar, Nigeria, Sierra Leone, Guinea, Tanzania dan Kenya.

"Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas, tamat tempoh pas pelajar dan pelancong serta menjalankan perniagaan.

"Kami juga mendapati ada antara warga asing ini disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian susulan penemuan komputer riba yang mengandungi maklumat mencurigakan.

"Perkara ini akan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Bersepadu itu.

Operasi yang disertai 96 pegawai imigresen, 15 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Khairul Dzaimee berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata, semua rakyat asing yang ditahan berusia satu hingga 66 tahun itu dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil atau Semenyih. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619