NASIONAL

Mangsa penipuan wang palsu diminta bantu siasatan

10 Jun 2019, 11:09 PM
Mangsa penipuan wang palsu diminta bantu siasatan

KEMAMAN, 11 JUN: Orang ramai terutama peniaga, dinasihatkan berhati-hati apabila melakukan urusan jual beli, selepas tular di laman sosial Facebook mengenai penggunaan duit palsu di daerah itu oleh seorang wanita menggunakan wang kertas RM100.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Mohd Haki Hasbullah berkata, bagi mengelak perkara itu berterusan, mereka yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis.

"Peniaga yang menjadi mangsa ini berniaga di tepi jalan, dan kebanyakan tidak mempunyai mesin pengimbas ketulenan wang kertas. Kita percaya modus operandi suspek adalah untuk mengambil kesempatan, dan mendapatkan keuntungan dengan cara mudah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun mengalami kerugian, sehingga 10 malam tadi, kebanyakan mangsa terbabit masih tidak membuat laporan polis.

Mohd Haki berkata pihak polis memandang serius terhadap kes melibatkan penggunaan wang palsu, dan beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sebelum ini, tular mengenai beberapa peniaga dikunjungi seorang pelanggan wanita menaiki sebuah kereta Toyata Vios, yang menggunakan wang RM100 palsu, untuk membeli ayam goreng dan keropok dengan jumlah kecil, dan dipulangkan baki pembelian kira-kira RM90.

Peniaga yang kemudiannya menyedari menerima wang palsu, dikatakan bertindak mencari wanita terbabit sehingga ke Kijal, namun tidak berjaya menahannya.

Salah seorang peniaga dikenali sebagai Iskandar, bertindak memuat naik maklumat kejadian status tersebut di laman Facebook miliknya, dan turut menjadi viral di laman 'Kemaman Tular'.

Insiden tersebut mendapat perhatian ramai dan dikatakan kejadian yang sama turut menimpa ramai peniaga, di daerah berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619