NASIONAL

Beban hutang faktor utama golongan muda tidak dapat beli rumah

7 Jun 2019, 1:59 AM
Beban hutang faktor utama golongan muda tidak dapat beli rumah

SHAH ALAM, 7 JUN: Selain deposit pembelian rumah yang tinggi, cabaran kritikal yang biasa dihadapi kebanyakan golongan muda untuk melayakkan mereka membeli rumah pertama adalah masalah berkaitan pelbagai hutang, dan antara yang sering menjadi rintihan ramai kalangan mereka adalah hutang kad kredit, hutang beli kenderaan, dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagi Azmeer Abu Bakar, 27, kegagalan melangsaikan hutang PTPTN dan kegagalan membayar hutang pinjaman kenderaan mengikut tempoh yang ditetapkan; merupakan punca utama yang mengakibatkan beliau tidak dapat membeli rumah sendiri kerana ia menyukarkan beliau membuat sebarang pinjaman lagi untuk membeli rumah.

“Oleh kerana saya mempunyai tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN yang belum diselesaikan, saya akhirnya berhadapan dengan masalah CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat),” kata penyelia di sebuah kilang pembuatan di Shah Alam itu kepada Bernama di sini baru-baru ini.

“Dengan adanya nama saya disenaraikan dalam rekod CCRIS, saya berhadapan dengan masalah untuk memiliki rumah sendiri kerana permohonan pinjaman perumahan saya tidak dapat diluluskan oleh pihak bank,” tambahnya.

Katanya prosedur pihak bank yang ketat menyukarkan pinjaman perumahan dibuat, walaupun tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN yang ditanggungnya itu tidak besar.

“Apabila sesorang itu telah mempunyai rekod CCRIS memang nama tidak ‘cantik’ untuk membuat pinjaman perumahan, mungkin saya perlu tunggu duit simpanan mencukupi selain simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), supaya saya dapat selesaikan tunggakan pinjaman kenderaan dan PTPTN,” tambahnya yang sebelum ini memohon Rumah Selangorku.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata hampir 50,000 tawaran Rumah Selangorku diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga Mac lepas, namun menurutnya daripada jumlah itu, kira-kira 35 peratus permohonan Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan disebabkan pelbagai isu utama termasuk tunggakan PTPTN dan kad kredit.

Rumah Selangorku ditawarkan kepada penduduk di negeri ini yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

Seorang lagi pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Nor, turut berkongsi cabaran sama dan berkata masalah hutang kad kredit sering menyulitkan ramai orang muda sepertinya untuk memiliki kediaman sendiri.

Nor yang berusia 30 tahun berkata walaupun beliau telah memasang impian untuk memiliki kediaman sendiri sejak dua tahun lalu, tetapi impian itu masih belum dapat dipenuhi sehingga kini.

“Penggunaan kad kredit itu bukan disebabkan kita berbelanja ikut nafsu, tetapi disebabkan gaji yang kecil dan pada masa sama perbelanjaan keperluan harian yang tinggi, itu antara faktor yang menyebabkan saya terpaksa menngunakan alternatif lain iaitu menggunakan kad kredit.

“Saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik daripada kerajaan negeri (Selangor), tetapi permohonan tidak diluluskan bank disebabkan masalah ini, jadi buat masa ini terpaksalah menyewa,” katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619