NASIONAL

Latheefa calon sesuai terajui SPRM - Gobind

5 Jun 2019, 8:10 AM
Latheefa calon sesuai terajui SPRM - Gobind
Latheefa calon sesuai terajui SPRM - Gobind
Latheefa calon sesuai terajui SPRM - Gobind

PUTRAJAYA, 5 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengalu-alukan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyifatkan peguam itu layak dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.

Katanya, beliau telah mengenali Latheefa kerana masing-masing menjadi pengamal guaman dan berharap bekas pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu diberi masa untuk melakukan yang terbaik dalam tugas baharu itu.

“Saya tidak terkejut dengan pelantikannya...beliau pasti seorang yang berkebolehan, berpengalaman dan mempunyai pemahanan dan pegangan mengenai perundangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Gobind berkata, terdapat banyak percubaan dan usaha untuk 'membersihkan’ negara yang menjadi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dalam tahun pertama pentadbirannya.

“Ia adalah satu tanggungjawab besar tetapi sekali lagi beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman dan kelayakan untuk tugas baharu itu,” katanya.

Mengenai dakwaan Latheefa tidak memiliki pengalaman yang mencukupi dalam menerajui agensi penguatkuasaan itu, Gobind berkata beliau sendiri tidak mempunyai pengalaman sebagai menteri dan percaya perlu ada titik permulaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk seri Mohamed Azmin Ali percaya pelantikan Latheefa adalah berdasarkan merit dan bukannya ideologi politik.

“Saya pasti pelantikan itu berdasarkan merit kerana beliau telah menceburi bidang undang-undang untuk sekian lama. Tetapi saya pasti pelantikan itu dibuat berdasarkan merit itu dan tidak semestinya bukan berdasarkan ideologi,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin juga berkata Latheefa, selaku Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, sudah lama tidak aktif dalam parti kerana beliau terlalu sibuk dengan kerja-kerja guaman di mahkamah.

“ Jadi saya fikir kita perlu beri beliau peluang untuk berkhidmat dengan badan itu (SPRM),” katanya sambil menambah beliau mengetahui pelantikan Latheefa melalui media.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619