NASIONAL

Umat Islam diingatkan sambut Aidilfitri ikut lunas syarak

4 Jun 2019, 6:47 AM
Umat Islam diingatkan sambut Aidilfitri ikut lunas syarak

 

IPOH, 4 Jun : Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan umat Islam supaya menyambut Aidilfitri mengikut lunas yang ditetapkan syarak dan memiliki nilai ibadah amal makruf yang dilakukan sepanjang Ramadan menjadi lengkap serta sempurna.

Baginda turut mengingatkan umat Islam agar menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran, menghindarkan pembaziran dan perbuatan bermewah-mewah.

"Hargai suasana yang membolehkan warga daripada pelbagai agama, hidup dalam harmoni, turut bersama meraikan keriangan Aidilfitri di tanah air yang aman lagi tenteram.

"Semaikan rasa syukur terhadap nikmat dan rezeki, berkongsilah limpahan nikmat dan rezeki kurniaan Ilahi dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan daif dan golongan yang memerlukan bantuan," titah baginda dalam perutusan Aidifitri di sini, hari ini.

Sultan Nazrin turut bertitah agar pengorbanan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang serta meriah, dihargai.

Selain itu, baginda bertitah ketika majoriti warga bercuti dan bergembira, terdapat kalangan yang melaksanakan pelbagai tugas penting termasuk para anggota pasukan keselamatan, polis dan Angkatan Tentera.

"Begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, Imigresen dan kastam, kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.

"Kepada mereka dan anggota keluarga mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan. Semoga pengorbanan mereka diterima oleh Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar," titah Sultan Nazrin. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619