NASIONAL

Golongan B40 di Kedah digesa segera rebut manfaat PeKa B40

4 Jun 2019, 5:20 AM
Golongan B40 di Kedah digesa segera rebut manfaat PeKa B40

ALOR SETAR, 4 Jun : Penerima Bantuan Sara Hidup berusia 50 tahun dan ke atas di Kedah, digesa supaya segera merebut manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan sejak 15 April lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata berdasarkan rekod pihaknya, hanya 378 orang yang layak mendapat kemudahan disediakan Kementerian Kesihatan itu telah menjalani saringan menerusi skim berkenaan setakat 14 Mei lepas.

"Bajet yang diluluskan kerajaan untuk PeKa B40 tahun ini adalah sebanyak RM100 juta bagi seluruh negara dan setelah pecahan dibuat, kuota Kedah boleh meliputi 71,920 orang.

"Tapi setakat ini sambutan sangat perlahan di Kedah dan pihak kami berharap lebih ramai mereka yang layak mengambil peluang ini bagi menentukan tahap kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan awal jika dikesan menghidap sebarang penyakit," katanya di sini.

Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai PeKa B40 daripada klinik-klinik kerajaan atau merujuk kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di kawasan masing-masing.

"Atau mereka juga boleh terus membuat semakan di laman sesawang www.pekab40.com.my untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak dan dalam laman itu juga terdapat senarai klinik swasta dan kerajaan yang boleh menjalankan saringan kesihatan bagi skim ini," katanya.

Beliau berkata saringan kesihatan secara percuma itu termasuk pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu), manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619