BERITA UTAMA

Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

1 Jun 2019, 2:43 PM
Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

MUAR, 1 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam biarpun terdapat dakyah-dakyah yang disebarkan menerusi aplikasi Whatapps menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan pimpinan PAKATAN sentiasa mempertahankan kedaulatan dan perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Jangan dengar dakyah dan fitnah yang sentiasa disebarkan dalam 'whatapps group' kononnya kerajaan tidak lagi menganggap Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai asas perjuangan kita.

"Sebagai anggota jemaah menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, saya memegang taat setia kepada negara ini, dan kita perlu pertahan hatta dengan nyawa sekali pun," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa anjuran AMANAH Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Batu 3, Bakri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, rakyat seharusnya menjadikan kekacauan yang berlaku di negara jiran baru-baru ini selepas pilihan raya umum dan pemilihan presiden sebagai iktibar untuk mengelakkan pecah belah.

"Kita perlu elakkan seperti yang berlaku di negara itu sehingga mengakibatkan korban nyawa kerana isu yang dimainkan ekstreme agama dan bangsa.

"Kita adalah negara Malaysia yang aman sejahtera, pada tahun lalu menyaksikan proses peralihan kuasa kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berlaku dengan lancar dan tanpa pertumpahan darah, yang kalah menerima hakikat dan yang menang membentuk kerajaan dan ini adalah tanggungjawab kita untuk pertahankan keharmonian negara ini," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619