SELANGOR

Pembinaan kolam takungan mampu minimakan risiko banjir

30 Mei 2019, 8:06 AM
Pembinaan kolam takungan mampu minimakan risiko banjir

 

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 30 MEI: Pembinaan kolam takungan di beberapa kawasan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama di kawasan Taman Daya dan Jalan Teratai, Meru.

Langkah itu perlu diambil segera kerana dalam tempoh enam bulan, penduduk setempat sudah berhadapan empat kejadian banjir kilat yang menjejaskan hampir 1,000 keluarga dari 11 taman perumahan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pembangunan setempat yang berlangsung rancak juga menjadi antara faktor berlakunya limpahan air ketika hujan.

"Kita ada perbincangan dan meneliti saluran air dan mendapati kawasan yang menghadapi banjir ini rendah. Jadi air mengalir dari kawasan tinggi ke kawasan rendah dan telah dilepaskan ke Sungai Binjai sera Sungai Kapar Kecil.

"Penaiktarafan Sungai Binjai sudah selesai sementara Sungai Kapar Kecil akan siap Januari 2020. Ia banyak membantu (mengurangkan banjir) tetapi kita lihat air yang dialirkan terlalu banyak dan memerlukan satu lagi komponen mengatasi banjir iaitu kolam takungan.

"Saya sedang melihat dan meneliti bagaimana kita dapat menyediakan kolam-kolam ini bagi tujuan menahan air supaya ia tidak tertumpu ke kawasan banjir ketika hujan lebat. Ia akan membantu meminimakan kesan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat dan Taklimat Kawasan Banjir di DUN Meru di Bilik Mesyuarat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Dewan Orang Ramai, Pekan Meru.

Izham berkata, beliau akan memanggil mesyuarat lanjut dalam tempoh terdekat bagi membincangkan masalah ini bersama Persatuan Kubur Hokkien, pemaju SP Setia dan Fairy Park.

Di samping itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut diminta meneliti serta memperkemas kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan kawasan di bawah tanggungjawab mereka supaya kejadian banjir dapat dielakkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619