NASIONAL

Keluarga Muhammad Adib boleh lantik peguam pemerhati

29 Mei 2019, 11:32 PM
Keluarga Muhammad Adib boleh lantik peguam pemerhati

KUALA TERENGGANU, 30 MEI: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim boleh melantik peguam untuk bertindak sebagai “watching brief” atau peguam pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba berkenaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, bagaimanapun peguam tersebut hanya boleh bertindak sebagai pemerhati sahaja.

“Keluarga boleh boleh melantik (peguam) sebagai ‘watching brief’ tetapi bukan sebagai peguam yang mengambil peranan aktif dalam kes ini. Kalau peguam daripada kerajaan ambil peranan aktif dia seolah-olah kerajaan bertembung dengan kerajaan. Ini anehlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, di sini semalam.

Pada Isnin, Peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana beliau mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619