BERITA UTAMA

Agong berkenan berbuka puasa bersama kakitangan istana

28 Mei 2019, 2:02 PM
Agong berkenan berbuka puasa bersama kakitangan istana

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama kakitangan istana di Istana Negara di sini, malam ini.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong pada kira-kira pukul 7 petang disambut oleh pegawai-pegawai kanan istana.

Turut hadir kerabat-kerabat diraja Pahang dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seramai kira-kira 550 warga istana hadir ke majlis itu termasuk anggota keselamatan istana.

Pada majlis itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Pengurniaan Ampun Kurnia Aidilfitri kepada 30 orang wakil anggota Istana Negara dan turut memberi sumbangan kepada lima orang wakil peniaga Bazar Jalan Masjid India yang terlibat dalam insiden kebakaran pada 21 Mei lepas.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih serta bertahlil bersama-sama hadirin selepas majlis berbuka puasa itu.

Terdahulu, Tunku Azizah Aminah berbesar hati berkongsi air tangannya memasak bubur lambuk sempena Program Memasak Bubur Lambuk bersama warga Istana Negara pada sebelah petang.

Bubur lambuk yang dimasak Raja Permaisuri Agong itu kemudiannya diedarkan kepada seluruh kakitangan Istana Negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619