SELANGOR

UiTM FC fokus misi ke Liga Super musim depan

27 Mei 2019, 3:17 PM
UiTM FC fokus misi ke Liga Super musim depan
UiTM FC fokus misi ke Liga Super musim depan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 MEI: Walaupun tewas di tangan Selangor United Jumaat lalu, tumpuan UiTM FC kini terarah kepada misi untuk kekal dalam landasan memburu slot ke Liga Super musim depan.

Presidennya, Prof Dr Azizan Abdullah berkata, skuad The Lion Troops itu akan tetap mengambil peluang dengan baki enam perlawanan lagi untuk tidak tercicir sebarang mata, sekali gus kekal selaku pendahulu Liga Perdana.

“Setakat ini, kedudukan pemain kita masih stabil dan apabila dapat naik ke Liga Super, kita akan cuba mengenal pasti penaja-penaja yang berpotensi untuk diketengahkan sekali gus membantu kita ke Liga Super akan datang.

“Begitu juga kita ada sumber kewangan lain yang tidak akan memberi impak kepada pretasi UiTM FC itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa UiTM FC 2019, di Intekma Resort, di sini, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Kamel Mohamad dan Ketua Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria.

Mengulas strategi memperkuatkan jentera pasukan, Dr Azizan yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM berkata, pihaknya akan melantik bakat-bakat baharu dimiliki institusi pengajian tinggi itu untuk diserahkan ke pasukan berkenaan.

Katanya, pemain yang terdiri daripada pelajar UiTM itu sendiri turut dikekalkan dalam pasukan.

“Setakat ini kita bergantung kepada pelajar UiTM itu sendiri kerana kita mengutamakan pelajar-pelajar kita untuk bermain dengan pasukan.

“Malah, kita juga mempunyai kuota pemain import tetapi prestasi yang kita ada sekarang memang memberangsangkan dengan strategi dibuat,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis sama Dr Azizan turut berkesempatan menyerahkan sumbangan derma kilat kepada anak Allahyarham bekas jurulatih Piala Presiden UiTM yang meninggal pada 6 Mei lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619