SELANGOR

Junjung titah Sultan Perak larang program masjid guna parti politik

27 Mei 2019, 9:09 AM
Junjung titah Sultan Perak larang program masjid guna parti politik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang melarang sebarang program dilakukan di masjid menggunakan nama parti politik.

Pengarahnya, Dato' Haris Kasim berkata, larangan itu bertujuan menjaga kesucian rumah ibadat dari aktiviti yang boleh memecah belahkan umat Islam.

"JAIS menjunjung titah DYMM Sultan Perak, berkaitan larangan program di masjid menggunakan nama parti politik demi menjaga kesucian rumah ibadat.

"DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga pernah bertitah bahawa masjid dan surau di Selangor sama sekali tidak boleh digunakan sebagai tempat kegiatan parti politik.

"Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Peraturan 70 (2) (c) dan (e) Peraturan-Peraturan masjid dan surau Selangor 2017," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Haris berkata, JAIS mendapat kerjasama yang baik daripada ahli politik dan mematuhi semua peraturan dan larangan yang berkuatkuasa.

Semalam, DYMM Sultan Perak, menitahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat tiga program di masjid di negeri itu yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.

Baginda memaklumkan menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik, yang dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid dan surau di Perak.

Baginda merumuskan, perkembangan sangat tidak sihat sedang berlaku, berpotensi menjejaskan kesucian masjid dan surau melalui persaingan aktiviti yang semakin rancak dilakukan oleh parti politik sama ada parti pemerintah dan pembangkang, menggunakan pelbagai alasan seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing, dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619