SUKANKINI

KBS keluar piawaian agih peruntukan pembangunan sukan

25 Mei 2019, 1:56 PM
KBS keluar piawaian agih peruntukan pembangunan sukan
KBS keluar piawaian agih peruntukan pembangunan sukan

BEAUFORT, 25 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan satu piawaian untuk mengagihkan peruntukan RM100 juta yang diperuntukan untuk pembangunan sukan di kawasan luar bandar.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu, bertujuan mendemokrasikan cara permohonan peruntukan pembangunan sukan berkenaan.

"Kita mahu mendemokrasikan cara penyaluran peruntukan ini… kita mahu permohonan bukan sahaja datang daripada pimpinan tertinggi.

"Kita mahukan agar permohonan juga datang daripada ketua-ketua kampung atau ketua-ketua persatuan. Cuma mereka perlu tunjukkan bahawa itu memang kawasan luar bandar, dan tidak ada infrastruktur sukan yang mencukupi di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis Konsultasi KBS bersama belia di sini, malam ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai projek pembinaan kompleks sukan di Kuala Penyu, Syed Saddiq berkata sebelum ini projek berkenaan telah dibatalkan kerana terdapat masalah tanah.

"Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun telah menyuarakan perkara ini sebelum ini, dan saya berterima kasih kepada beliau kerana sangat prihatin dengan perkembangan sukan di kawasan ini.

"Saya dimaklumkan bahawa isu tanah berkenaan telah selesai, dan mereka telah mendapatkan tapak tanah baharu membina kompleks sukan berkenaan. Oleh itu kementerian akan memastikan projek pembinaan kompleks sukan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin," tambahnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619