NASIONAL

Anjakan baharu kaedah pendidikan elak gejala ekstremisme

25 Mei 2019, 4:18 AM
Anjakan baharu kaedah pendidikan elak gejala ekstremisme
Anjakan baharu kaedah pendidikan elak gejala ekstremisme

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya suatu anjakan baharu dilaksanakan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, Moral, serta Kewarganegaraan Global bagi mengelak gejala ekstremisme.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, seruan terbabit ekoran kebimbangan pihaknya terhadap polemik perpaduan dan kurang kefahaman berhubung sensitiviti antara agama serta komuniti, di negara ini.

Katanya, ABIM bimbang terhadap barah irhab al fikr (terrorisme pemikiran), iaitu suatu sikap mendera, menyakiti dan menghukum pemikiran mereka yang berbeza pandangan dengan kelompoknya walaupun perbezaan itu masih berada dalam batas dibenarkan syara'.

Malah, jika berterusan, gejala terbabit akan menyemarakkan lagi polarisasi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini, katanya.

"Bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi masyarakat mendesak, pendekatan pedagogi pendidikan secara umumnya perlu memberi penekanan penguasaan pelbagai nilai kemahiran aras tinggi.

"Antara nilainya adalah seperti pemikiran kreatif dan kritikal, kemahiran berkolaboratif, bekerjasama, kemahiran menyelesaikan masalah kompleks, kemahiran mengurus emosi dan kemahiran bersosial.

"Pembinaan watak dan kemahiran ini amat penting untuk merungkai pelbagai polemik yang membelenggu perkembangan sosio-ekonomi umat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Raimi berkata, mempelajari asas pelbagai agama dan budaya, terutama di peringkat Asia Tenggara mampu membentuk kefahaman dan toleransi, serta memaknakan nilai rahmatan Lil alamin.

"ABIM sekali lagi menegaskan kesan daripada sentimen kebencian berakarkan ekstremisme dan sikap ghuluw ini akan hanya mengakibatkan masyarakat kita terus ketinggalan lantaran gagal memanfaatkan peluang untuk bangkit menjadi bangsa Malaysia yang dihormati.

"Justeru anjakan baharu dalam memperkukuh kefahaman Pendidikan Islam, Moral, dan Kewarganegaraan Global amat perlu sebagai jalan terbaik mencari titik penyelesaian kepada kebimbangan ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619