BERITA UTAMA

PDRM beri jaminan keselamatan kepada Jho Low untuk pulang - KPN

24 Mei 2019, 4:46 AM
PDRM beri jaminan keselamatan kepada Jho Low untuk pulang - KPN

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk pulang ke tanah air bagi melalui proses undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata dakwaan kononnya ahli perniagaan kontroversi yang didakwa terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan ditahan, diseksa dan dibunuh sekiranya pulang adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, jaminan perlindungan keselamatan bukan sahaja kepada Jho Low tetapi anggota keluarga serta rakan-rakannya yang didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

“Malaysia mempunyai undang-undang, balik jika tidak bersalah dan jangan guna peguam untuk keluarkan kenyataan serta membuat sebarang penafian.

“They (Jho Low and friends) can come back with the best lawyer to defend them...don’t waste our time, they cannot run forever (Mereka (Jho Low dan rakan) boleh pulang bersama peguam yang terbaik untuk pertahan mereka… jangan bazirkan masa kami, mereka tidak boleh lari selama-lamanya) ,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan yang pihaknya mengetahui keberadaan ahli perniagaan yang diburu itu namun enggan mendedahkannya kepada media.

“We know where Jho Low and his friends are hiding (Kami tahu di mana Jho Low dan rakannya bersembunyi) dan polis menggunakan semua sumber yang ada termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa luar untuk mengesan Jho Low.

“Kami juga tahu di mana Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil berada,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kes 1MDB menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan Ketua Polis Negara awal bulan ini.

“That (1MDB case) is my priority, we have to settle this 1MDB as soon as possible(Itu (kes 1MDB) adalah keutamaan saya, kita perlu selesaikan 1MDB ini dengan secepat mungking),” katanya.

Mengulas mengenai serbuan di firma juruaudit, Deloitte Malaysia semalam, Abdul Hamid berkata polis sedang mengumpul beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan penyelewengan dana 1MDB. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619