PBT

Datuk Bandar gesa peniaga bincang lokasi perniagaan sementara

21 Mei 2019, 4:55 AM
Datuk Bandar gesa peniaga bincang lokasi perniagaan sementara

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Para peniaga di bazar hadapan Wisma Yakin di sini yang terlibat dalam kebakaran awal hari ini, diminta berbincang mengenai kawasan penempatan perniagaan sementara pada bulan Ramadan ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya telah memberi cadangan beberapa lokasi tertentu yang dikenal pasti boleh dijadikan tempat berniaga mereka untuk baki beberapa minggu menjelang perayaan Aidilfitri.

"Saya dah menyatakan kepada mereka bahawa mereka akan ditempatkan berdekatan kawasan tempat perniagaan mereka sekarang sama ada di Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau di Lorong Tuanku Abdul Rahman 5 tapi keputusan majoriti perlu daripada mereka.

"Peniaga terlibat perlu berbincang mencari satu persetujuan di mana mereka hendak ditempatkan. Mereka juga diberikan tempoh dua minggu untuk menyatakan jumlah kerugian dialami," katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Nor Hisham berkata berdasarkan jumlah kerugian itu, pihaknya akan memberi sedikit bantuan bagi meringankan beban peniaga terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Melayu Moden Bazar Masjid India, Hamidi Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama 30 peniaga terlibat untuk urusan penempatan sementara mereka.

"Apa yang merunsingkan kami mengenai tempat sementara dicadangkan itu mungkin tidak berapa sesuai buat peniaga yang terlibat.

"Namun perkara itu boleh dibincangkan lagi menurut kata Datuk Bandar Kuala Lumpur. Jadi kami kena buat keputusan di mana kawasan yang lebih sesuai untuk menempatkan mangsa terlibat dengan kebakaran sahaja,” katanya kepada Bernama.

Hamidi berkata cadangan dan keputusan akan dimaklumkan kepada pihak DBKL dalam masa terdekat.

"Beberapa peniaga ada bagi cadangan tapi kami akan berbincang balik untuk mencapai kata sepakat," katanya.

Dalam kejadian pukul 1.35 pagi ini, 30 gerai yang antaranya menjual pakaian, beg, tudung dan kasut di hadapan Wisma Yakin, Masjid India di sini, musnah dalam kebakaran. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619