SUKANKINI

Piala Sudirman: Malaysia gagal saingi China

20 Mei 2019, 12:47 AM
Piala Sudirman: Malaysia gagal saingi China

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Seperti diduga, skuad badminton negara gagal menyaingi kehebatan juara bertahan China apabila tewas 5-0 dalam saingan pembukaan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China, hari ini.

Meskipun turun dengan semangat juang, namun barisan muda negara gagal memenangi satu perlawanan dengan juara 10 kali itu dalam saingan Kumpulan D.

Dalam aksi pertama, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Woon Yik memberi sedikit harapan apabila mengejutkan juara dunia, Li Junhui-Liu Yen 21-18 pada set pertama tetapi gagal 14-21 pada set berikut dan tunduk 22-24 pada set penentuan.

Peluang negara untuk menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Soniia Cheah turut gagal selepas tewas 15-21, 23-21 dan 14-21 pada set penentuan kepada pemain nombor tiga dunia, Chen Yufei.

China meraih mata ketiga menerusi naib juara dunia, Shi Yuqi yang tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam straight set 21-12, 21-11.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mengalami kekalahan straight set apabila tunduk kepada Du Yue-Lin Yinhui 18-21, 14-21.

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal mengutip mata apabila kalah kepada juara dunia Huang Yaqiong-Zheng Siwei 16-21, 12-21.

Malaysia kini perlu mengalahkan India dalam perlawanan terakhir kumpulan, Selasa ini, untuk memburu tempat ke peringkat suku akhir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619