NASIONAL

Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

18 Mei 2019, 2:46 PM
Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik disifatkan sebagai tokoh besar sangat dikenali dalam mempersembahkan kesucian ajaran Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Walaupun terpalit dengan dakwaan sebagai seorang pengganas di negara kelahirannya namun beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya mendengar tuduhan dilemparkan terhadap penceramah itu sewenang-wenangnya kerana tiada maklumat betul dan sahih, bahkan tidak tepat.

Bercakap ketika ditemui pada program Iftar Ramadan dan Ceramah Khas, katanya, kepakaran penceramah tersohor dari India itu mempersembahkan Islam bukan sahaja daripada segi praktiknya kita beramal, malahan dalam komunikasi.

"Kita berbangga kerana dapat menghadirkan tokoh besar iaitu tokoh antarabangsa dan kita merasakan ketokohan beliau dalam mengupas Islam sangat mudah serta jelas, itu menyebabkannya tokoh antarabangsa yang sangat dikenali.

"Apabila dia (Dr Zakir) menerangkan topik sangat jelas, kita rasa bahawa tidak ada sebab untuk orang curiga dan menerima dakwaan bahawa beliau memecahbelahkan masyarakat," katanya.

Terdahulu, Dr Zakir mengupas isu 'Offering Peace And Justice In Islam To The World - Challenging The Islamophobia Narratives' yang antara lain membincangkan berkaitan tuntutan keamanan dan keadilan dalam masyarakat Islam di dunia selain cabaran prasangka serta diskriminasi pada Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, beberapa perkara disentuh Dr Zakir sangat menarik, seterusnya memberi peranan kepada pendengar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan tidak merasakan hubungan akan terjejas.

"Jadi, kita harus pandai menggunakan cara dan teknik dengan baik. Tajuknya juga sangat sesuai Ramadan dan kita dapat mendengar sendiri penjelasan beliau terhadap beberapa isu ditanyakan.

"Kami bercadang untuk mengadakan lagi program sebegini bersama beliau sebagai tetamu dan mahu mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk datang serta berinteraksi dengannya daripada mendengar tuduhan tidak sahih," katanya.

Dianggarkan kira-kira 300 peserta hadir dalam majlis berlangsung di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan INTEAM dan bacaan ayat suci al-Quran.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619